Baca dan renungkanlah........................
Para sahabat memenuhi ruang rumah Arqam bin Abi Arqam, mendengar kuliah dari Rasullah s.a.w. pada hari itu. Antara lain Rasulullah telah bersabda: "Ketahuilah olehmu wahai para sahabat sekalian. Barang siapa yang mengucapkan kalimah "Laa ilaha illallah" akan masuk syurga".
Para sahabat tersenyum dengan khabar gembira dari Rasulullah itu.
Majlis itu pun bersurai. Masing-masing terus pulang untuk menyampaikan apa yang telah mereka dengar dari Rasulullah. Jika bertembung dengan orang di jalan atau dengan yang sedang mengembala di padang, semuanya akan diberitahu tentang khabar dari Rasulullah tadi. Mereka takkan bertangguh-tangguh dalam menyampaikan apa yang disampaikan oleh Rasulullah.
Seorang sahabat telah bertemu dengan Sayyidina Umar al Khattab dalam perjalanannya pulang lalu berkata, "Hai Umar, berhentilah sebentar. Saya ada membawa khabar gembira dari Rasulullah".
"Ya, khabarkan kepadaku", sahut sayyidina Umar.
"Tadi Rasulullah ada menyebut: Barang siapa yang mengucapkan kalimah Laa ilaha illallah akan masuk syurga".
PANG! Tiba-tiba penampar Sayyidina Umar hinggap di mukanya.
Terpegun sebentar sahabat itu. "Kenapa Umar menamparku?", bisik hatinya. "Bukankah aku menyampaikan apa yang disabdakan oleh Rasulullah? Apa pula salahku? Ataupun Umar yang salah?", bingung jadinya dia memikirkan reaksi sayyidina Umar itu.
"Beginilah," dia kemudiannya berkata. "Aku tahu tentu ada sebabnya kau menamparku. Aku cadangkan marilah kita berjumpa Rasulullah dan selesaikan perkara ini di depan Baginda". Nyatalah dia tidak hilang pertimbangan.
Mereka berdua segera ke rumah Rasulullah, dan diceritakan segala yang berlaku kepada Baginda. Lantas Rasulullah bertanya kepada sayyidina Umar, "Kenapa engkau menempelengnya hai Umar?"
"Maafkan saya ya Rasulullah," jawab sayyidina Umar. "Bagaimana saya tidak marah kerana saya bimbang nanti umatmu di akhir zaman, mereka hanya mengucapkan Laa ilaha illallah semata-mata, kemudian mereka sudah rasa layak untuk masuk syurga, tanpa berjuang, tanpa berusaha dan tanpa beramal untuk memenuhi tuntutan kalimah syahadah itu".
Fahamlah sahabat itu apa yang bermain di fikiran sayyidina Umar tadi. Beliau berfikir jauh dan memahami apa yang tersirat
Tiada ulasan:
Catat Ulasan